Sejarah bahasa pengaturcaraan BASIC
Tahun-tahun awal — Zaman minikomputer
|
Bahasa BASIC yang asal direka pada tahun 1963 oleh John Kemeny dan Thomas Kurtz untuk memudahkan para pelajar yang menggunakan Sistem Pengongsian Masa Dartmouth menulis atur cara sendiri. Ia bertujuan untuk mengatasi kerumitan bahasa-bahasa pengaturcaraan yang lebih lama dan khususnya menyasarkan para pengguna sistem pengongsian masa yang baru, iaitu pengguna yang tidak mempunyai sebarang pengetahuan teknik atau latar belakang matematik, dan yang tidak berminat memperolehnya. Keupayaan menggunakan komputer untuk membantu pengajaran dan penyelidikan adalah cukup menarik bagi mereka. Pada tahun-tahun berikut, apabila dialek-dialek BASIC yang lain muncul, versi Kemeny dan Kurtz yang asli kemudian digelar Dartmouth BASIC.
Lapan prinsip reka bentuk BASIC adalah seperti yang berikut:
- Mudah digunakan oleh pengguna baru
- Merupakan bahasa pengaturcaraan serba guna
- Membenarkan ciri-ciri lanjut ditambahkan untuk pengguna pakar (semasa mengekalkan sifat mudah untuk pengguna baru)
- Bersifat interaktif
- Membekalkan pesanan ralat yang jelas dan ramah
- Memberikan respons yang pantas untuk atur-atur cara kecil
- Tidak memerlukan pemahaman perkakasan komputer
- Melindungi pengguna daripada sistem pengendalian.
Bahasa BASIC sebahagiannya berdasarkan kepada FORTRAN II dan sebahagiannya kepada ALGOL 60, dengan tambahan untuk menyesuaikannya kepada pengongsian masa. (Ciri-ciri sistem pengongsian masa yang lain seperti JOSS dan CORC, serta juga LISP pada tahap yang tidak begitu banyak, juga dipertimbangkan.) BASIC didahului oleh uji-uji kaji bahasa pengajaran yang lain di Dartmouth seperti DARSIMCO (1956) dan DOPE (pelaksanaan SAP (1962) dan DART (1963) yang merupakan FORTRAN II yang dipermudah). Pada asalnya, BASIC menumpukan dukungan kerja matematik yang jelas dan mudah, dengan dukungan aritmetik matriks dan kefungsian rentetan penuh ditambahkan pada tahun 1965. BASIC dilaksanakan buat pertama kali pada komputer kerangka utama GE-265 yang mendukung banyak pangkalan komputer. Berbeza dengan kepercayaan umum, BASIC merupakan sebuah bahasa tersusun sejak dari masa pengenalannya. Ia juga agak cekap, dan mengalahkan pelaksanaan FORTRAN II dan ALGOL 60 pada komputer 265 ketika menyelesaikan banyak masalah pengaturcaraan yang agak intensif dari segi pengiraan, seperti pengamiran berangka Peraturan Simpson.
Pereka-pereka bahasa BASIC memutuskan untuk mengedarkan penyusun dengan percuma supaya bahasa itu dapat digunakan secara meluas. Ia juga disediakan untuk sekolah-sekolah tinggi di kawasan Dartmouth, dengan banyak usaha dilakukan untuk mempromosikan bahasa itu. Oleh itu, pengetahuan tentang BASIC menjadi agak meluas, dengan bahasa itu dilaksanakan oleh sebilangan pengilang dan menjadi agak popular pada minikomputer yang lebih baru seperti siri PDP DEC dan Nova Data General. Bahasa BASIC juga amat penting kepada sistem BASIC Pengongisan Masa HP pada akhir dekad 1960-an dan awal 1970-an. Dalam kes-kes tersebut, bahasa BASIC cenderung dilaksanakan sebagai pentafsir dan bukannya (atau sebagai tambahan kepada) penyusun.
Beberapa tahun selepas penerbitan BASIC, sebilangan profesional komputer yang amat dihormati, khususnya Edsger W. Dijkstra, mengutarakan pendapat mereka bahawa penggunaan kenyataan GOTO yang wujud dalam banyak bahasa pengaturcaraan, termasuk BASIC, mempromosikan amalan pengaturcaraan yang buruk. [1] Sesetengah orang juga mempersendakan BASIC kerana terlalu perlahan (kebanyakan versi tertafsir adalah lebih perlahan, berbanding dengan versi tersusun yang sepadan) atau terlalu mudah (banyak versi, khususnya untuk komputer kecil, tidak memasukkan ciri-ciri dan keupayaan yang penting).
Letupan pertumbuhan — Zaman komputer rumah
Meskipun bahasa BASIC digunakan dalam banyak minikomputer, tidaklah sehingga pengenalan mikrokomputer Altair 8800 oleh MITS pada tahun 1975 bahawa BASIC diberikan satu laluan ke kesemestaan. Kebanyakan bahasa pengaturcaraan memerlukan lebih banyak ingatan daripada yang boleh didapati dalam komputer kecil yang mampu dibayar oleh kebanyakan pengguna. Dengan capaian ingatan yang lambat yang dibekalkan oleh pita magnet serta ketiadaan penyunting teks yang sesuai, sebuah bahasa seperti BASIC yang dapat mengatasi kekangan-kekangan ini kelihatan amat menarik. BASIC juga mempunyai kelebihan kerana ia agak terkenal di kalangan pereka bentuk yang mudah yang minat akan mikrokomputer. Oleh itu, usaha promosi Kemeny dan Kurtz yang awal jelas mendatangkan faedah.
Salah satu versi awal yang muncul untuk mesin 8080 seperti Altair ialah Tiny BASIC, sebuah pelaksanaan BASIC yang mudah yang mula-mulanya ditulis oleh Dr. Li-Chen Wang, dan kemudian diportkan pada Altair oleh Dennis Allison atas permintaan Bob Albrecht (yang kemudiannya mengasaskan Jurnal Dr. Dobb). Reka bentuk dan kod sumber Tiny BASIC yang lengkap kemudian diterbitkan dalam Jurnal Dr. Dobb pada tahun 1976.
Pada tahun 1975, MITS menerbitkan Altair BASIC, perisian yang dibangun oleh Bill Gates dan Paul Allen, dan yang dinamai mereka sebagai Micro-Soft. Versi Altair yang pertama ditulis bersama oleh Gates, Allen dan Monte Davidoff. Tidak lama kemudian, berbagai-bagai versi Microsoft BASIC muncul dalam pelantar-pelantar yang lain di bawah pelesenan, dengan banyak kelainan dan berjuta-juta salinan digunakan; ia menjadi salah satu bahasa piawai dalam komputer Apple II (berdasarkan 6502 MPU yang agak berbeza). Menjelang tahun 1979, Microsoft berunding dengan banyak penjual mikrokomputer, termasuk IBM, tentang pelesenan pentafsir BASIC untuk komputer mereka. Satu versi BASIC dimasukkan ke dalam cip ROM IBM PC, dengan komputer-komputer peribadi tanpa cakera liut dapat membut secara automatik ke dalam BASIC seperti dengan banyak komputer kecil yang lain.
Syarikat-syarikat yang lebih baru mencuba mengikut jejak MITS, IMSAI, North Star, dan Apple dan dengan itu, mencipta sebuah industri komputer rumah; pada waktu yang sama, BASIC menjadi satu ciri yang piawai untuk hampir semua komputer rumah. Kebanyakannya dibekalkan dengan pentafsir BASIC di dalam ROM dan dengan itu, mengelakkan masalah tentang ketiadaannya cakera atau harga cakera yang terlalu mahal. Tidak lama kemudian, terdapat jutaan mesin yang melaksanakan berbagai-bagai kelainan BASIC di seluruh dunia. Oleh itu, jumlah pengguna BASIC mungkin jauh melebihi jumlah pengguna bahasa-bahasa yang lain yang digandingkan sama-sama.
Terdapat lebih banyak dialek bahasa pengaturcaraan BASIC, berbanding dengan mana-mana bahasa pengaturcaraan yang lain. Kebanyakan komputer rumah pada dekad 1980-an mempunyai pentafsir BASIC huni ROM.
BBC menerbitkan BBC BASIC yang dibangun untuknya oleh Acorn Computers Ltd. Versi BBC menggabungkan banyak kata kunci penstrukturan tambahan serta juga capaian langsung yang menyeluruh dan serba boleh kepada sistem pengendalian. Ia juga menonjolkan penghimpun bersepadu penuh. BBC BASIC merupakan dialek yang amat dipandang tinggi yang kemudian beralih daripada komputer BBC Micro yang asal kepada melebihi 30 pelantar yang lain.
Dalam tempoh perkembangan BASIC ini, banyak majalah diterbitkan, misalnya Majalah Creative Computing yang merangkumi kod sumber lengkap untuk permainan, utiliti, dan atur cara lain. Disebabkan sifat BASIC yang jelas dan mudah, menaip kod daripada majalah dan melaksanakan atur cara itu dianggap sebagai sesuatu perkara yang mudah. Berbagai-bagai majalah diterbitkan yang menonjolkan atur cara untuk komputer-komputer yang tertentu, walaupun sesetengah atur cara BASIC bersifat sejagat dan boleh diinput ke dalam mana-mana mesin yang menggunakan BASIC. Peluasan yang berlogik terhadap idea majalah adalah penerbitan kod sumber BASIC dalam bentuk buku: mungkin contohnya yang klasik merupakan siri Permainan Komputer Asas yang ditulis oleh David Ahl. [1] [2] [3]
Kematangan — Zaman komputer peribadi
Banyak versi BASIC yang lebih baru dicipta pada tempoh ini. Microsoft menjual banyak versi BASIC yang digunakan untuk MS-DOS/PC-DOS, termasuk BASICA, GW-BASIC (versi serasi BASICA yang tidak memerlukan ROM IBM) dan QuickBASIC. Borland, penerbit Turbo Pascal, menerbitkan Turbo BASIC 1.0 pada tahun 1985 (versi-versi penggantinya masih dipasarkan oleh penulis asal di bawah nama PowerBASIC).
Bahasa-bahasa ini memperkenalkan banyak tambahan kepada BASIC komputer rumah yang asal, seperti pengolahan rentetan dan dukungan grafik yang diperbaik, capaian sistem fail, dan jenis data tambahan. Yang lebih penting ialah kemudahan untuk pengaturcaraan berstruktur, termasuk struktur kawalan tambahan dan subrutin yang betul-betul mendukung pemboleh ubah setempat.
Bagaimanapun, menjelang setengah kedua dekad 1980-an, komputer-komputer yang lebih baru mencapai keupayaan yang jauh lebih tinggi, dengan lebih banyak sumber. Pada waktu yang sama, komputer maju dari minat penggemar menjadi alat yan digunakan terutamanya untuk atur cara penggunaan yang ditulis oleh orang lain, dengan pengaturcaraan menjadi kurang penting kepada kebanyakan pengguna. Pentingnya BASIC mula merosot, walaupun banyak versi masih boleh didapati. Walaupun demikian, BASIC tersusun atau CBASIC masih digunakan dalam banyak sistem tempat jualan IBM 4690 OS.
Nasib BASIC diterbalikkan semula dengan pengenalan Visual Basic oleh Microsoft. Adalah agak susah untuk menganggap bahasa ini sebagai BASIC kerana peralihan utama dalam orientasinya kepada perspektif berorientasi objek dan berpandukan peristiwa. Sedangkan ini boleh dianggap sebagai evolusi bahasa, tidak banyak ciri tersendiri Dartmouth BASIC yang awal, seperti nombor garis dan kata kunci INPUT dikekalkan.
Banyak dialek BASIC juga tumbuh dengan cepat pada tahun-tahun kebelakangan ini, termasuk Bywater BASIC dan True BASIC (pengganti langsung kepada Dartmouth BASIC yang diterbitkan oleh sebuah syarikat yang dikuasai oleh Kurtz). Banyak kelainan dan padanan BASIC telah ditulis oleh para penggemar, pembangun pelengkapan dan lain-lain kerana ia adalah sebuah bahasa yang amat mudah untuk membangunkan atur cara penterjemah. Salah satu contoh pentafsir sumber terbuka yang ditulis dalam bahasa pengaturcaraan C ialah MiniBasic.
Keadaan pentafsir BASIC yang sentiasa ada dalam komputer peribadi pada suatu ketika adalah sehingga buku-buku teks ketika itu memasukkan latihan-latihan "Cubalah dengan BASIC" yang menggalakkan para pelajar menguji kaji dengan konsep-konsep matematik dan pengiraan di dalam bilik darjah atau komputer rumah. David Brin, futuris dan penulis fiksyen sains, mengesali kehilangan BASIC yang dahulunya sentiasa ada dalam makalah Salon yang baru-baru ini. [2]
Lihat juga
| Laman Sesawang Yang Lain | ||||
|---|---|---|---|---|
| ||||
| ||||
| [ Versi bahasa Inggeris: {{{2}}} {{{3}}} ] |
|
|
|
