Laman sesawang
The Million Dollar Homepage (pada 12 Februari, 2007)
The Million Dollar Homepage ialah laman sesawang yang dibangunkan oleh Alex Tew, seorang pelajar dari pekan Cricklade, Wiltshire, England yang ketika itu berumur 21 tahun, untuk memungut derma bagi membiayai pendidikannya. Dilancarkan pada 26 Ogos 2005, laman itu dikatakan menjanakan pendapatan kasar sebanyak AS$1,037,100 dan kini ditempatkan 4a dalam pemeringkatan Google PageRank. Kedudukan laman tersebut dalam pemeringkatan Alexa pada 28 Ogos 2008 ialah 50,101 selepas mencapai kedudukan setinggi sekitar 127.[1]
2. Halaman utama The Million Dollar Homepage terdiri daripada sebuah grid 1000×1000 piksel (sejuta piksel), dengan pautan berasaskan imej dijual pada harga AS$1 (kira-kira RM3.50) per piksel. Belian minimum ialah blok 10x10, iaitu seratus piksel. Pembeli blok piksel itu membekalkan imej kenit, Penempat Sumber Seragam (URL), serta juga slogan yang akan dipaparkan apabila kursor pengunjung diletakkan pada pautan mereka.
3. Tew sedang mencari-cari cara untuk membiayai pendidikannya kerana kursusnya di University of Nottingham akan bermula dalam tempoh sebulan. Dia memiliki gagasan untuk menjual piksel dan walaupun dia tidak benar-benar percaya bahawa ada orang yang ingin membelinya, dia masih meneruskan rancangannya. Tew memperhitungkan bahawa dia tidak akan mengalami banyak kerugian dengan percubaannya, khususnya kerana dia tidak merancang untuk memasarkan laman sesawangnya, kecuali melalui kaedah dari mulut ke mulut. Dalam tempoh tiga hari, Tew menjual blok 20×20 pikselnya yang pertama kepada sebuah laman sesawang muzik dalam talian.
4. Sejak masa itu, Tew menjual sebilangan blok setiap hari menerusi hanya satu siaran akhbar. Tanpa disangkanya, laman sesawang The Million Dollar Homepage hanya mengambil masa dua minggu untuk mengutip wang yang mencukupi untuk membiayai tahun pertama di universiti. Menjelang saat itu, sebilangan blog yang terkenal serta juga akhbar United Kingdom seperti The Daily Telegraph, The Guardian, dan The Sun sedang memperhatikan usaha Tew, dan bilangan pesanan Tew bertambah dengan pesat. Sebulan selepas pelancaran lamannya, dia sudah memperoleh AS$152,900 (kira-kira RM496,000).[2] Bagaimanapun, Tew hanya dapat mengekalkan diri dalam kursus universitinya selama satu penggal, akibat perhatian media yang besar-besaran, serta juga keperluan untuk menangani masalah-masalah berkait laman sesawangnya serta juga untuk menyertai temu bual.
5. Pada 1 Januari 2006, 1,000 piksel terakhir ditawarkan dalam jualan lelong eBay.[3] Perlelongan itu tutup pada 11 Januari dengan bida kemenangan sebanyak AS$38,100.00 (kira-kira RM123,750). Dengan jualan terakhir ini, jumlah pendapatan kasar Tew ialah AS$1,037,100 (sekitar RM3.37 juta).
6. Konsep Tew dengan pantasnya mewujudkan beratus-ratus laman sesawang tiruan. Oleh sebab The Million Dollar Homepage merupakan laman sesawang yang pertama, ia pada dasarnya merupakan alat pemasaran kendiri kerana gaya dan kebaharuannya. Laman-laman tiruan tidak memiliki kebaharuan tersebut dan oleh itu, kebanyakannya gagal. Pada bulan Disember 2006, Tew juga memulakan projek serupa yang baru yang dikenali sebagai Pixelotto.com. Bagaimanapun, projek itu ditamatkan pada bulan Januari 2008, dengan hampir 85% piksel tidak berjaya dijual selepas setahun. Tew tidak merancang untuk melanjutkan projek tersebut.[4]
7. Berita BBC melaporkan bahawa laman sesawang The Million Dollar Homepage mengalami serangan penafian perkhidmatan teragih, mulai dari 11 Januari 2006.[5] Penyerang itu dikatakan menghantar e-mel kepada Tew untuk mendapatkan wang tebusan supaya Tew dapat mengelakkan serangan laman sesawangnya. Tew mengatasi serangan tersebut dengan pengubahsuaian perkakasan. Dalam sebuah surat berita, Tew berkata:
| “
| The Million Dollar Homepage telah dikembalikan dalam talian selepas masa mati selama hampir 6 hari, akibat serangan yang berniat jahat oleh penceroboh yang mencuba memeras wang sebanyak AS$50,000 daripada saya. Dengan sukacita, saya mengatakan bahawa saya tidak membayar satu sen pun, tetapi sebaliknya saya bekerja secara rapat dengan syarikat pengehosan saya, Sitelutions dan DDoSprotection.com, untuk menghentikan serangan. Saya juga melaporkan perkara itu kepada Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) yang kini sedang menyiasat.
| ”
|